Monday, November 29, 2010

"Abang, Siapa Nak Doakan Kita Bila Kita Mati? Kita Tak Ada Anak.."

Ketika sedang duduk-duduk selepas solat maghrib berjemaah, si Suami membaca hdith di bawah sebagai tazkirah pada hari itu kepada isterinya, hadis tersebut berbunyi;


*****************************************************

Daripada Anas r.a, berkata bahawa ada tujuh macam pahala yang dapat diterima seseorang selepas matinya;

  • Sesiapa yang mendirikan masjid maka ia tetap pahalanya selagi masjid itu digunakan orang untuk beramal ibadat didalamnya
  • Sesiapa yang mengalirkan air sungai selagi ada orang yang minum daripadanya
  • Sesiapa yang menulis mushaf ia akan mendapat pahala selagi ada orang yang membacanya
  • Orang yang menggali perigi ada orang yang menggunakannya
  • sesiapa yang menanam tanaman selagi ada yang memakannya baik dari manusia atau burung
  • Mereka yang mengajarkan ilmu yang berguna selama diamalkan orang yang mempelajarinya
  • Orang yang meninggalkan anak yang soleh iaitu anak yang selalu diajar ilmu al-Quran, maka orang yang mengajarnya akan mendapat pahala selagi anak itu mengamalkan ajarannya tanpa mengurangi pahala anak iti sendiri.

Abu Hurairah berkata, rasulullah bersabda bermaksud: "Apabila mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga perkara iaitu sedekah yang berjalan terus, ilmu yang berguna dan diamalkan serta anak yang soleh yang mendoakan baik baginya"

******************************************************

Maka timbullah persoalan di benak si Isteri dan timbullah persoalan darinya, "Abang, siapa pula yang akan mendoakan kita bila kita mati? Kitakan tak ada anak..." Soal si Isteri perlahan. Si suami tersentak dengan persoalan itu. Namun si Suami buat-buat cool je. Persoalan itu segera bermain-main dalam fikiran si Suami selama beberapa hari sambil berdoa kepada Allah agar memberikan jawapan kepadanya.

Seperti biasa setiap hari Selasa si Suami akan menghadiri kelas Bahasa Arab bimbingan Ustaz Mohd Khalid bin Salikin Al-renggami. Dalam kelas yang sunyi si suami cuba mendengar dan mengikuti kelas walaupun matanya sangat mengantuk dan kepalanya terhenguk-henguk macam ayam mematuk beras, tiba-tiba matanya kembali segar sebaik sahaja mendengar sebaris ayat yang disampaikan oleh Ustaz Khalis, "Apakah maksud anak yang soleh yang mendoakan ibu bapanya ketika sudah tiada? Adakah anak kandung sendiri? Bagaimana bagi mereka yang tiada anak? sesungguhnya Allah itu maha Adil".

Lalu beliau meneruskan, " maksud anak soleh sangat luas. Tidak terbatas kepada anak kandung sendiri. Anak soleh termasuklah anak saudara kita, anak jiran-jiran kita, anak murid kita, orang-orang yang menyampaikan ilmu yang baik untuk mereka tidak kira tua atau muda secara langsung atau tidak".

Mata si Suami kembali segar membulat walaupun sebenarnya matanya agak kecil (sepet), seperti kata orang-orang sekeliling. dengan senyuman membunga hingga ke telinga membuatkan matanya yang kecil semakin mengecil, si Suami merasa tidak sabar untuk pulang ke rumah untuk memberitahu si Isteri. habis sahaja kelas Ustaz Khalid, si Suami terus balik, member-member ajak pergi ngeteh (agenda biasa untuk membesarkan perut bila habis kelas atau mesyuarat) pun tidak dihiraukan.

Samapai sahaja di rumah si Suami terus memberitahu si Isteri tentang ilmu yang baru didapatinya sebentar tadi sekaligus menjawab semua persoalan yang bermain di fikiran mereka berdua. Maka kembali cerialah hidup kedua pasangan ini. Pesan si Suami kepada si Isteri yang juga seorang pendidik, "Ikhlaskan diri dalam menyampaikan ilmu, semoga anak-anak soleh ini kan mendoakan kita apabila tiada kelak".

MORAL OF THE STORY:

  • Sentiasa bersangka baik kepada Allah terhadap ujian yang kita hadapi kerana Allah Maha Pengasih, Penyayang dan Adil.
  • Kepada pendidik sekalian, hendaklah sentiasa mengiklaskan diri dalam menyampaikan ilmu tidak kira berapa teruknya anak murid kita. Mudah-mudahan keberkatan dalam keikhlasan kita menyampaikan ilmu akan menjadikan mereka seorang anak yang soleh.
  • Jangan kedekut atau segan untuk menyampaikan ilmu walaupun nampak macam biasa je ilmu tu.
  • Ilmu yang Allah kurniakan amatlah luas umpama mencelup jari di lautan lalu diangkat jari itu. Air di jari ibarat ilmu yang kita ada, sedangkan lautan adalah ilmu yang masih kita tidak tahu.
  • Rajin-rajinlah menhadiri majlis ilmu, kuliah agama. Bagi mereka yang hatinya keras, sentiasa tidak tenang, gusar dan sentiasa dihantui pelbagai masalah, amalkan selalu menghadirinya, tidak kira di mana. Kenapa? tak percaya? Cuba dulu... tak perlu makan pil banyak-banyak...

~WALLAHUALAM~

No comments: